Saya rindukan saat-saat kehamilan. Kadang-kadang terasa ingin sekali mengusap perut saya sambil bermonolog sendiri seperti dulu. Kadang-kadang rindu untuk merasa tendangan dan gerakan-gerakan lembut dari dalam perut saya. Hingga kadang-kadang, saya terasa-rasakannya sedangkan apa yang saya rasa sebenarnya barangkali mungkin hanya angin dek perut saya yang kosong. Pathetic? Mungkin.
Sungguh pun sebegitu, saya kadangkala keliru dengan perasaan sendiri. Entah kenapa, saya tiba-tiba alergi dengan dua perkara. Dua perkara ini akan secara automatik mengimbas dengan jelas waktu-waktu dan saat-saat ketika saya hamil dulu. Dan entah kenapa, saya betul-betul rasa kurang selesa dengan perasaan tersebut. Pertama, bau epal hijau dari one drop perfume yang saya sering guna waktu hamil. Lalu, jika saya terhidu bauan ni kini, di mana-mana, saya akan rasa tidak selesa. Perasaan yang sungguh tidak sedap. Kedua, lagu-lagu Lenka yang ada dalam playlist itunes saya. Setiap kali itunes sampai pada lagu-lagu dia, saya akan cepat-cepat tukar. Pelik. Walhal saya betul-betul sukakan lagu-lagu Lenka. Tapi kini, jika saya dengar semua tu semula, saya seakan ditelan mesin masa. Tepat ketika waktu-waktu dan hari-hari ketika saya hamil dulu. Dan entah kenapa, saya tidak selesa dengan perasaan itu. Sungguh saya tidak mengerti kenapa. :/
Pejam celik, sudah hampir 8 bulan sejak kepergian damia. Saya semakin kuat. Saya kira saya memang sudah pulih sepenuhnya. Sebetulnya seawal 2 atau 3 bulan setelah kejadian. Saya sentiasa yakin dengan hikmah di sebalik kejadian yang telah Dia tentukan. Ini jalan cerita saya yang telah tertulis. Ini yang saya perlu lalui dengan tabah. Saya redha sepenuh raga. Cuma sesekali, jika rindu yang mendalam itu datang, saya pasti tak mampu menghalang tembok air mata. Ia pasti mengalir sendiri. Walau di dalam solat.
Sering saya rasa sedikit tersinggung jika ada yang terus beri komen ssupaya saya redha, move on dsbnya bila saya ceritakan tentang kerinduan saya terhadap damia. Adakah rindu itu salah? Adakah rindu itu bermakna tidak redha? Adakah air mata juga salah? Adakah air mata juga bermakna tidak redha? Rasa mahu saja saya jeritkan yang ini HANYA rindu. Rindu yang tak mungkin ada siapa pun dapat tepis jika mereka merasainya terhadap orang yang mereka sayang. Ia bukan bermaksud anda masih berduka. Ia bukan bermaksud anda tidak menerima ketentuan Ilahi. Ia hanya perasaan semulajadi yang hadir sendiri. Salahkah saya untuk merasa rindu?
Dalam kerinduan terhadap damia, saya juga tidak terlalu terburu-buru untuk hamil lagi. Tambah-tambah lagi saya kini sibuk cari peluang kerja yang lain. Risau juga jika ada yang tak mahu terima saya kerana saya hamil. Bukan saya tak mahu hamil. Tapi saya tidak begitu berharap. Saya serahkan 100% pada ketentuanNya. Jika itu yang tebaik untuk saya, saya berdoa agar jalan untukknya dipermudahkan Allah. Sesungguhnya hanya Dia yang Maha Mengetahui atas setiap segala sesuatu.
Salam Penuh Kerinduan Buat Anakanda Damia,
Bunda Indie
Bunda Indie





2 repot dari mata2:
InsyaAllah, yg terbaik bagi kak long sekeluarga... Yg pnting ada usaha yg berterusan..
Doa dimulai, tawakkal diakhiri..
thanks a lot uda.
lots of love,
kaklong
Post a Comment
lepas stalk, aku rasa...