Ramadhan kembali lagi, menggamit kembali memori setahun yang lalu. Begitu pantas masa berlalu, saya kini sudah setahun meninggalkan kenangan kepergian anakanda tersayang, Damia, menemui Penciptanya, Ya Rabb yang satu.
Awal Ramadhan yang lalu, saya sempat berpesan padanya untuk cuba berpuasa sekurang-kurangnya 14 hari. Alhamdulillah, saya berjaya berpuasa, dan ironinya, pada malam ke-14 Ramadhan, saya diberitahu tentang kehilangan anakanda tersayang ketika temujanji dengan Dr. Jamil di KPMC ketika usia kandungan ketika itu sudah pun masuk 8 bulan. Kuasa Allah s.w.t, Dia juga yang memakbulkan hasrat saya untuk berpuasa selama mana yang saya inginkan.
Kepergian Damia bukan kerana saya berpuasa, kerana menurut Dr. Jamil, berdasarkan keadaan fizikal Damia, dia mungkin telah pergi lebih 2 minggu sebelumnya lagi. Pelbagai perkara cuba saya andaikan sebagai penyebabnya. Namun, keputusan post-mortem melalui plasenta Damia mengesahkan ia adalah berpunca daripada masalah uri dan ia terjadi dengan sendiri, dan mungkin tanpa bersebab.
Ramadhan yang lalu, buat pertama kalinya, saya merasai pengalaman melahirkan ditemani oleh suami tersayang di sisi saya. Ia selesai beberapa minit sebelum masuknya waktu berbuka puasa. Masih juga terbayang saat-saat adik-adik jururawat yang hampir pengsan kerana menyambut terlalu banyak kelahiran pada hari tersebut dan dalam keadaan berpuasa. Namun, Alhamdulillah, segalanya berakhir jua dengan baik. Ketika azan maghrib berkumandang menandakan waktu berbuka puasa, serasakan terlepasnya lelah kesakitan dan jerih yang saya tanggung selama hampir sejam sebelum itu. Sesungguhnya, setelah pengalaman itu, amat jelas bagi saya, mengapa Allah menjelaskan bahawa syurga itu letaknya di bawah telapak kaki seorang ibu. Juga jelas bagi saya kenapa rasulullah s.a.w dalah sebuah hadisnya, telah mengutamakan ibu daripada ayah. Kesakitan untuk melahirkan adalah pengalaman yang tak mungkin saya lupakan kerana bagi saya, tiada kesakitan yang pernah saya alami seumpama itu. Ada juga ibu-ibu yang bernasib baik dan dimudahkan proses melahirkan, namun saya bukan di antaranya. Namun, saya tidak menyesali sebuah pengalaman yang amat istimewa seperti itu.
Ramadhan yang lalu, saya berpantang buat pertama kali dalam hidup saya. Saya amat-amat bersyukur dikurniakan ibu dan ayah yang sangat-sangat mengambil berat dan menjaga makan minum saya. Sejujurnya, saya tidak dapat membayangkan andai saya perlu melakukan segalanya sendiri tanpa mereka. Juga agak aneh perasaan mempunyai susu badan tanpa ada anakanda untuk disusukan. Perasaan yang sungguh bercampur baur. Mungkin kesedihan, mungkin juga kerinduan, mungkin juga kepasrahan. Namun, alhamdulillah, dengan petua daripada seorang kawan, menggunakan helaian kubis, masalah saya lama-kelamaan dapat diselesaikan kerana susu saya akhirnya kering dengan sendirinya.
Ramadhan lalu, begitu sinonim dengan iringan lagu Asma' Allah daripada Sami Yusuf. Dan lagu ini menjadi peneman saya tiap kali kerinduan terhadap anakanda Damia mengetuk pintu hati. Sesungguhnya, lagu ini jugalah yang meringankan beban di dada kerana ia mengingatkan saya tentang rahmat dan kasih sayang Allah Maha Pencipta. Sesungguhnya saya redha apabila Dia memilih saya dan Damia untuk diuji, dan sesungguhnya saya adalah yang paling bahagia kerana Damia dijaga oleh Penciptanya, Allah yang Satu. Damia pasti paling gembira di sana.
Hampir setahun telah berlalu, Ramadhan kini muncul kembali. Dan segala yang di atas bagi terimbas kembali. Namun kini, saya telah jauh dari kesedihan. Cuma sesekali kerinduan pasti jua mengetuk pintu hati. Ironinya, saya kini juga hamil hampir 4 bulan. Tidak mungkin saya tidak rasa paranoid dengan apa yang telah berlaku. Namu, saya letakkan segala-galanya pada ketentuan Qada' dan Qadar jua. Sesungguhnya hanya Dia yang maha mengetahui hikmah segala sesuatu dan kita sebagai hambaNya hanya mampu berdoa, berusaha dan bertawakal kepadaNya.
Semoga Ramadhan kali ini, memberi lebih banyak pengertian dan muhasabah buat diri dan suami tersayang. Ramadhan, bulan penuh rahmat dan barakah. Bulan yang sentiasa dinanti dan bakal dirindui apabila ia tiba dipenghujungnya.
Salam Ramadhan buat saudara & saudariku seluruhnya.
:)
Thursday, August 12, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)





1 repot dari mata2:
sebak..
Post a Comment
lepas stalk, aku rasa...